Print

Kurikulum Azhari Sekolah Rendah Islam

Written by Pentadbir Web pada 22 February 2012. Di dalam bahagian Berita

Kurikulum Azhari merupakan kurikulum baru yang akan dilaksanakan di semua Sekolah Rendah Islam (SRI), Yayasan Islam Perlis (YIPs) mulai sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) pada Januari 2013. Kurikulum tersebut telah dirangka dan disusun oleh Jawatankuasa Khas Kurikulum Azhari yang dilantik dan diselia sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan, YIPs. Walaupun kurikulum ini akan digunakan sepenuhnya di SRI, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) masih digunapakai seperti biasa dimana Kurikulum Azhari dijadikan sebagai kurikulum tambahan bagi memenuhi objektif penubuhan SRI iaitu melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang pendidikan islam dan akademik.

Kurikulum ini merupakan sistem pendidikan yang mempunyai dua elemen yang sangat penting iaitu pendidikan yang bersifat Thurosi (pengajian pondok) dan Muasoroh (moden) bagi memenuhi keperluan individu muslim sesuai dengan tuntutan semasa dan peredaran zaman. Kurikulum ini juga adalah pendedahan awal kepada murid-murid mengenai ilmu Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah dengan menggunakan perantaraan Bahasa Arab.

Antara subjek-subjek yang terangkum dalam kurikulum ini adalah Nahu & Sorof, Khat & Imlak, Muhadathah, Tajwid, Sirah, Tafsir dan Hadis. Masa yang diperuntukkan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam seminggu persekolahan adalah sebanyak 10 jam. Pada peringkat awal, kurikulum ini dilaksanakan kepada murid tahap 1, 2 dan 3 dahulu dan kemudian akan disusuli dengan murid tahap 4, 5 dan 6 bagi tahun berikutnya.

Objektif sebenar Kurikulum Azhari dilaksanakan di Sekolah Rendah Islam, Yayasan Islam Perlis adalah untuk menghasilkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah supaya menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang ke arah mempertingkat tamadun bangsa dan Negara.